Friday 16 March 2012

assalamualaikum buat bakal imamku :)




Assalamualaikum, buat bakal imamku.


Aku tidak pernah tahu siapa kamu, bakal imamku. Kita mungkin sudah berjumpa, pernah berselisih, memang berkawan,sudah terpisah jauh, atau mungkin saja akan berkenalan satu hari nanti.Tapi yang pasti, itu semua sudah ditetapkan untuk kita, tunggu lah dengan tenang, wahai bakal imamku. Percayalah pada ketetapan-Nya, yang sudah dijanjikan pada semua umat-Nya.


Kalau saja kita bertemu, dan ada rasa indah dihati masing-masing, jangan terburu-buru mengajak aku bercinta, jangan memaksa aku untuk punya hubungan istimewa dengan kamu, hanya kerana kamu punya perasaan itu pada aku. Jangan terus-terusan mengejar, kerana pastinya akan ku tolak, dan kalau itu terjadi, jangan disalahkan aku kerana aku sudah memberi kamu petanda sejak awal.


Aku tahu, kamu mungkin mengajak aku bercinta, dengan alasan untuk memberi peluang kepada kita untuk lebih mengenali hati budi masing-masing. Tapi aku sebenarnya takut untuk bercinta, sungguh aku tak tipu. Maka jangan dipaksa-paksa aku untuk menunaikan permintaan kamu itu. Aku bimbang, perasaan itu akan bertukar, kerana sungguh, aku tidak suka dipaksa-paksa begitu. Bakal imamku, kamu juga tahu kan, tidak manis untuk kita bercinta, tanpa ikatan perkahwinan. Maka hormatilah apa yang ditekankan Islam, kerana itulah sebaik-baik untuk umat-Nya.


Cinta itu bagi aku, satu jalan yang membawa aku ke arah perkahwinan. Dan untuk berkahwin, bukanlah semudah yang kamu sangkakan. Kalau saja saat itu tiba, dikala aku masih tercari-cari arah masa depanku, berilah ruang dan masa untuk aku mencorakkannya, biarkan aku melangsaikan perkara-perkara penting dalam hidup aku terlebih dahulu. Berilah aku peluang untuk membalas jasa mereka yang banyak berbakti sepanjang membesarkan aku selama ini, dan biarkan aku mencari lebih kebaikan dalam diriku, sebelum aku menjadi yang sah buat kamu. Bukannya aku takut pada komitmen seperti itu, tapi bukankah lebih baik aku bersedia menjadi yang terbaik, dan insyaAllah, aku akan memberi yang terbaik dalam perkahwinan itu. Usai saja semua itu, aku janji, aku sudah bersedia untuk menjadi yang sah untuk kamu.


Kalau ditakdirkan kita berjumpa, dan hati aku yakin, kamulah jodohku, dan kamu juga ada rasa yang sama. Bersabarlah, dan berdoalah selalu, agar jodoh itu dipermudahkan jalannya. Kalau keadaan memaksa kita berjauhan dan tidak berhubung, bersabarlah, kerana itu lebih baik daripada menjadi seperti yang lain, yang mana itu mungkin mengundang fitnah dan sangka buruk orang pada kita. Kamu juga tahu kan, hubungan tanpa perkahwinan itu, sentiasa menjadi buah mulut orang, padahal kita punya keluarga, yang perlu kita jaga maruah mereka. Satu hal yang perlu kamu tahu, aku memang pernah bercinta sebelum ini, dan aku tahu itu satu kesalahan, dan di masa akan datang, akan ku cuba untuk mengelakkannya, dan menyerahkan segala-Nya pada tuhanku.


Bakal imamku, percayalah pada jodoh, bahawa hari itu akan tiba juga nanti. Disaat aku menjadi yang sah untuk kamu, berjanjilah, ikatan itu terjalin kerana kamu mahu membimbing aku ke jalan-Nya, menjadi imamku dikala kita solat berjemaah, menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab, dan tetap menjadi muslimin yang setia pada agama-Nya. Dana aku pula berjanji, akan menjadi suri hati kamu yang setia dan taat pada kamu, menjaga kebajikan kamu, dan menjadi muslimah yang lebih baik, InsyaAllah.


Satu hari nanti, kita pasti berjumpa, dan memetrai ikatan perkahwinan itu. InsyaAllah.Maka, tunggulah hari itu. Itu saja yang mampu aku coretkan, untuk kamu.


Assalamualaikum, buat bakal imamku.

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum....
    salam ziarah salam perjuangan.. teruskan menulis Lillahi ta'ala..mg Allah Redho~ ;)

    ReplyDelete