AL-QURAN dan sunah Rasulullah SAW adalah panduan yang perlu
digunakan umat Islam dalam memandu kehidupan di dunia dan di akhirat.
Kedua-duanya adalah harta paling berharga bagi umat Islam
kerana al-Quran merujuk kepada perintah secara langsung daripada Allah SWT
kepada manusia yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW.
Sunah Rasulullah SAW pula merujuk kepada penjelasan Baginda
mengenai sesuatu perkara secara lebih jelas. Kebanyakan sunah yang ada pada
masa ini berpandukan kepada penjelasan baginda terhadap soalan yang ditanyakan
sahabat pada zaman itu.
Adalah jelas bahawa kedua-duanya sangat penting kepada umat
Islam sebagaimana sabda Baginda sendiri yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada
kamu dua perkara. Sekiranya kamu berpegang pada kedua-duanya, kamu tidak akan
sesat selama-lamanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunahku.” (Riwayat Imam
Malik) Jadi, tidak hairanlah al-Quran dan sunah ini ibarat udara serta air yang
sememangnya diperlukan oleh manusia. Jika air dan udara diperlukan manusia
untuk hidup di dunia, al-Quran dan sunah pula diperlukan manusia untuk menghidupkan
hati agar penuh dengan keimanan.
Tanpa panduan dan pegangan daripada al-Quran dan sunah, maka
matilah hati seseorang itu dan hiduplah dia dalam kekufuran serta dalam
kegelapan baik di dunia mahupun di akhirat kelak.
Namun, dalam kita berpegang pada al-Quran dan sunah ini,
hendaklah kita berhati-hati kerana pada masa ini, wujud banyak cetakan atau
petikan daripada ayat al-Quran yang disalah cetak serta dipalsukan.
Sebagai umat Islam, kita perlu peka bahawa tidak semua ayat
yang ditulis dalam kaligrafi bertulisan jawi itu adalah ayat al-Quran, walaupun
lazimnya ia kelihatan cantik untuk dipandang dan sebagai perhiasan di dalam
rumah.
Janganlah kita butakan hati, akal dan fikiran dengan
menganggap semua kaligrafi jawi itu adalah petikan ayat al-Quran dan janganlah
pula sewenang-wenangnya membeli atau mempamerkan ayat berkenaan tanpa memeriksa
kebenaran ayat berkenaan.
Ini kerana, jika ada satu baris yang diletakkan secara salah
dalam ayat berkenaan, ia akan membawa maksud berbeza sekali gus akan mencemarkan
kesucian kalam Allah.
Periksa dan telitilah ayat berkenaan dengan sebaik-baiknya.
Jika kita tidak mengetahui atau fasih mengenainya, adalah lebih baik supaya
tidak membeli atau mempamerkannya sebelum merujuk kesahihan ayat berkenaan
kepada mereka yang pakar sebagaimana terkandung dalam al-Quran.
Janganlah kerana ingin menunjuk bahawa kita Islam, kita
butakan hati dengan membeli perhiasan yang diperindahkan dengan kaligrafi
sedangkan kita sendiri tidak fasih untuk membaca serta memahaminya.
Begitu juga halnya hadis yang dikatakan berdasarkan sunah
Rasulullah SAW. Pada masa ini, wujud hadis yang dipalsukan serta diadakan-
adakan oleh pihak tertentu.
Walaupun secara pandangan mata kasarnya hadis itu mungkin
nampak elok serta baik, kesan hadis palsu ini sebenarnya akan mengelirukan umat
Islam dalam menentukan kedudukan perkara paling telus dan benar.
Janganlah sewenang-wenangnya mencedok hadis serta petikan
ayat al-Quran ini jika kita kurang ilmu mengenainya. Cara yang terbaik adalah
dengan mempelajarinya daripada seorang guru yang dipastikan layak dan bukan
berdasarkan pembacaan daripada buku atau carian di Internet semata-mata.
Ini kerana, adat untuk belajar hendaklah dengan berguru.
Rasulullah SAW sendiri diajar oleh Malaikat Jibril untuk membaca menerusi wahyu
pertama iaitu surah al-Alaq, ayat 1-5 yang bermaksud: “Bacalah dengan nama
Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal
darah. Bacalah dan Tuhanmu yang paling pemurah. Yang mengajar manusia dengan
perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak tahu.” Selepas itu juga
Jibril kerap kali datang membawa wahyu Allah, selain ada antara wahyu itu
diterima sendiri Baginda secara langsung daripada Allah SWT selain pengalaman
waktu Israk Mikraj.
Jadi, sebagai manusia yang lemah, janganlah kita mengambil
sesuatu perkara itu tanpa pengesahan daripada mereka yang benar-benar layak
untuk mengajar atau sekadar melalui pembacaan.Ini kerana tanpa penunjuk yang betul, seseorang itu boleh
diibaratkan sebagai mereka yang sesat dalam cahaya tanpa mengetahui di manakah
sumber cahaya itu yang sebenarnya.
No comments:
Post a Comment