Dari Abu Hurairah r.a. katanya:
“Bertanya orang banyak kepada Rasulullah s.a.w:
“Apakah kami akan melihat Zat Allah di hari kiamat kelak ya Rasulullah?” Jawab
baginda: “Apakah kamu terhalang memandang bulan purnama raya?” Jawab mereka
itu: “Tidak!”. Berkata pula Rasulullah s.a.w: “Adakah kamu sukar melihat
matahari ketika tidak awan menutupinya?” Jawab mereka itu: “Tidak tuan!” Maka
berkata Rasulullah s.a.w: “Demikianlah jelasnya kamu akan dapat melihat Allah
kelak.”
Kemudian Rasulullah s.a.w meneruskan perkataannya, kata
beliau:
“Pada hari kiamat nanti Allah akan mengumpulkan semua
manusia lalu bertitah: “Hendaklah tiap-tiap orang mengikut siapa/apa yang
disembahnya didunia.” Mendengar itu maka penyembah matahari mengikut matahari,
penyembah bulan mengikut bulan, pemuja thoghut mengikut thoghut dan di dalam
rombongan mu’min (yang belum bergerak) terdapat pula kaum munafiq.
Kemudian Allah Taala datang kepada mereka itu dengan
wajah yang tidak dikenal, lalu berkata:
“Aku Tuhanmu.” Maka jawab mukminin: “Kami berlindung
kepada Allah dari godaanmu! Kami tidak akan bergerak dari sini sebelum datang
Tuhan kami yang sejati, dan apabila Ia datang kepada kami, dapat kami
mengenalNya.”
Setelah itu Allah Taala datang kepada mereka dengan
rupaNya yang dikenal oleh orang-orang Mukmin itu, lalu berkata:
“Aku Tuhanmu”. Maka dijawab kaum mukmin: “Benar,
Engkaulah Tuhan kami, mereka itupun segera mengikutNya.” Berkata pula
Rasulullah s.a.w “Nun disana di atas api neraka dibentangkan titian, maka
umatkulah yang pertama menyeberang titian itu. Pada saat itu tak seorang pun
dibenarkan berbicara kecuali Rasul-Rasul pesuruh Allah; seruan Rasul-Rasul
ketika itu: Oh Tuhan! selamatkanlah, selamatkanlah!”
Ditengah-tengah api neraka itu terdapat banyak besi-besi
melengkung seperti lengkung pancing, seperti duri sa’dan. Kata Rasulullah s.a.w
kepada sahabat-sahabat yang hadir:
“Adakah kamu pernah melihat sa’dan?”
Jawab mereka:
“Ya!” “Seperti duri sa’dan itulah bentuk besi-besi
itu, hanya saja besarnya tidak terkira, dan itu kelak yang akan mengait manusia
yang sedang meniti, menurut imbangan dosa masing-masing. Yang beriman akan
terlepas dari kaitannya dan yang berdosa, terkena , tetapi akhirnya
dilepaskan.”
Setelah Allah selesai mengadili hamba-hambaNya dan
berkehendak dan mengeluarkan penghuni neraka dengan rahmatNya, dititahkanNya
kepada malaikat-malaikat untuk mengeluarkan mereka yang diberiNya rahmat,
kerana di dunia mereka tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun.
Malaikat-malaikat yang mendapat perintah itu pun dapat mengenal orang-orang
yang berkata “tiada tuhan yang disembah kecuali Allah” dengan
adanya bekas sujud sembahyang yang memang tidak dimakan api neraka.
Kemudian segeralah Malaikat-malaikat itu mengeluarkan
mereka dalam keadaan hangus rentung, kemudian dituangkan ketubuh masing-masing
air hidup, maka tumbuhlah masing-masing kerana air itu seperti tumbuhnya jenis
biji setelah banjir surut.
Setelah hal itu selesai seluruhnya, rupanya disana masih
tinggal seorang lelaki yang menghadap mukanya ke neraka dialah yang terakhir
sekali masuk ke dalam syurga. Kepada Allah ia bermohon dengan
bersungguh-sungguh agar mukanya dapat dipalingkan dari api neraka itu, dengan alasan
bau dan nyalaannya telah menghancur luluhkan dirinya. Demikianlah permohonan
itu berkali-kali diulangnya.
Kemudian Allah berkata kepadanya:
“Kalau Aku kabulkan permintaan ini apakah tak ada
permohonan yang lain lagi?”
Jawab orang itu:
“Tidak!”
dan ia berjanji keras kepada Allah bahawa ia tidak akan
meminta sesuatu apapun lagi. Permohonan orang itu pun dikabulkan Allah Taala.
Setelah terlihat olehnya kemewahan syurga, terdiamlah ia beberapa lama.
Kemudian ia bermohon lagi kepada Allah agar dapat disampaikan
ke pintu syurga itu, Berkata Allah kepadanya:
“Bukankah engkau telah berjanji keras tak akan meminta
apa-apa lagi? Celaka anak Adam ini! Alangkah pemungkirnya!”
Maka orang itupun bermohon kedua kalinya kepada Allah
serta berjanji pula tak akan menambah permohonannya lagi.
Setelah permohonan orang itu dikabulkan Allah dan
terlihatnya kemewahan syurga, terdiamlah ia beberapa lama. Kemudian ia bermohon
kepada Allah magar dapat disampaikan ke pintu syurga. Setelah ia tiba di sana
terbukalah pintu syurga itu selebar-lebarnya, dan dilihatnya segala kenikmatan
dan kegembiraan, kemewahan yang ada di dalamnya. Dia tercengang takjub dan tak
dapat berkata-kata. Kemudian ia bermohon pula ketiga kalinya agar dapat
dimasukkan ke dalamnya, seraya berjanji seperti janji yang lampau. “Alangkah
pemungkirnya kamu hai anak Adam!” kata Allah Taala kepadanya. Jawabnya: “Oh
Tuhan! jangan kiranya hamba ini menjadi orang-orang yang celaka.” Demikianlah
permohonan itu diulang-ulang, akhirnya tertawalah Allah Taala seraya bertitah:
“Masuklah engkau ke dalam syurga ini!”
Maka apabila masuk ke dalamnya , bertitahlah Allah:
“Sekarang dapatlah engkau mencita-citakan apa saja
keinginanmu!”
Orang itupun segera bermohon berbagai-bagai permintaan
dan mencita-cita bermacam-macam kenikmatan sehingga Allah Taala
memperingatkannya kepada soal-soal yang tertentu dari kenikmatan yang tak
diketahuinya. Akhirnya apabila orang itu telah merasa puas, berkatalah Allah
Taala kepadanya:
“Nikmatilah kemewahan yang telah ada ini, bahkan akan
ditambah lagi dengan berbagai nikmat sebanyak itu pula. (Hadith Sahih
Riwayat Imam Muslim)
Dalam hadith lain diceritakan:
Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w
bersabda:
Sesungguhnya aku benar-benar tahu ahli Neraka yang
terakhir keluar dari sana dan ahli Syurga yang terakhir masuk ke Syurga iaitu
seseorang yang keluar dari Neraka secara merangkak lalu Allah Taala berfirman
kepadanya: Pergilah, masuklah ke dalam Syurga, maka dia pun mendatangi Syurga,
tetapi terlintas di fikirannya bahawa Syurga itu telah pun dipenuhi. Oleh itu
dia kembali dan berkata: Wahai Tuhanku, aku telah temui Syurga itu namun ianya
telah penuh. Allah Taala berfirman: Pergilah, masuklah ke dalam Syurga, maka
dia pun mendatangi Syurga, tetapi terlintas di fikirannya bahawa Syurga itu telah
dipenuhi lalu kembali semula dan berkata: Wahai Tuhanku, aku telah temui Syurga
itu tetapi ianya telah penuh. Allah berfirman: Pergilah, masuklah ke dalam
Syurga kerana sesungguhnya ianya untukmu seumpama dunia dan sepuluh kali
gandanya atau sesungguhnya ianya bagimu sepuluh kali ganda dunia. Lelaki itu
berkata: Adakah Engkau mengejekku atau mempermain-mainkan aku, kerana Engkau
adalah Maharaja? Maka Abdullah bin Mas’ud berkata: Aku benar-benar melihat
Rasulullah s.a.w tertawa sehingga ternampak gigi geraham baginda dan dikatakan:
Itulah Ahli Syurga yang paling rendah kedudukannya. (Hadith Sahih Riwayat
Imam Muslim)
Sumber: http://www.syahirul.com/
No comments:
Post a Comment