Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa
kreatif dalam mendidik isteri. Allah SWT bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan
akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan.
Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini
dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah pula dengan kesabaran serta
kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, seorang suami akan menjadi
pelindung dan pendidik yang berwibawa.
Firman Allah SWT:
“Lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi
wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana
suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya.”
Kebahagiaan rumahtangga dapai diraih apabila suami dapat
menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam
isteri. Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala
wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan
suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki
hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka,
suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di
sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.
Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal
berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang
dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan
seseorang itu mudah hilang sabar, mudah berprasangka, pemarah, pemboros dalam
berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendek kata, hasil dorongan nafsu
itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga
bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu
persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah isteri mesti dipandu atau
dibimbing oleh suami agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan
semata-mata.
Sembilan nafsu pada diri wanita boleh
menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak
dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa mempelajari
sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta
memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan
kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam
isteri yang mencabar kesabaran suami.
Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran.
Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa
kebijaksanaan menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri sehingga
isteri lupa daratan. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan
suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh
mencederakan isteri.
Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak
dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada
pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasauf. Contoh
bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu
kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW.
Tatkala Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya, perempuan
tua itu akan membaling sampah kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan
sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah
SAW. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Baginda lalu di sebelah
rumahnya. Namun sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda. Suatu hari
Rasulullah SAW rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya
baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. Apabila
pulang dari masjid, baginda bertanya kepada jiran perempuan tersebut.
Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu Baginda naik ke rumahnya dengan tujuan
untuk berziarah. Rasulullah SAW bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air
untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak
Baginda yang sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit.
Akhirnya dengan sifat sabar, Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu,
menyebabkan terbuka hatinya untuk mengucap dua kalimah syahadah.
Dalam peristiwa yang lain, pernah Rasulullah SAW melintasi
sekumpulan kaum perempuan, lalu Baginda memberi salam. Namun tiada seorang pun
yang menjawab salam baginda. Rasulullah SAW memberi salam sekali lagi. Mereka
masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri salam, barulah
mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut
salam yang pertama dan kedua, mereka menjawab: “Kami sengaja mahu
Rasulullah SAW mendoakan untuk kami.”
Begitu Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun
sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Baginda masih dapat
menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum
perempuan yang pendek akalnya, kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak
dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara.
Tetapi kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang
sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, suami mestilah bersedia untuk mendidik
isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang
panjang.
Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah
SAW dan bertanya tentang mandi hadas. Rasulullah SAW menjawab:
“Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan
lalu berwuduk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami
keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya: “Bagaimana
saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan
baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu
Rasulullah SAW meminta kepada Siti Aishah r.a. supaya menerangkan kepada
perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata: “Ambil sepotong kapas yang bersih,
lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah
berhenti.”
Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik
isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih
daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri
pengasih, sekalipun jika dia seorang pemimpin. Ada waktu-waktu yang tertentu
apabila suami bersama isteri, suami hendaklah merendahkan sifat egonya, seperti
mana yang dibuat oleh Rasulullah SAW tatkala bersama Siti Aishah.
Sewaktu Rasulullah SAW dinikahkan dengan Siti Aishah, umur
baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama
tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada
masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak
berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya Rasulullah
menang. Bermakna sewaktu bersama isteri, adakalanya Rasulullah melayan kehendak
isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib
dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami
mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut
saja segala kemahuan isteri.
Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam
syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang
cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan
perjuangan terpaksa diketepikan. Sebagai pemimpin dalam sesebuah rumahtangga,
suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran
isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka
adakalanya apabila fikiran terganggu, emosinya juga terikut sama. Tatkala itu
kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih
lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan
marahnya pada suami.
Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah
tatkala isteri sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan
lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya
Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain). Bagaimana sepatutnya tindakan suami
untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya
didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan
sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang
menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang
mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya.
Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan
syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur.
Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada
perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau
perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh.
Bukanlah untuk menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang
sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan
itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan.
Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk
menerimanya. Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah SAW.
Suatu hari isteri-isteri datang menemui Baginda, dan Siti
Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya: “Wahai Rasulullah, di
antara isteri-isteri Rasulullah,yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?” Rasulullah
SAW tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan
Baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan
jawapannya kemudian. Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh
isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak
boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah SWT. Tetapi suami mestilah pandai
memainkan peranannya supaya jangan ada di kalangan isteri-isteri yang
tersinggung perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang
tertentu. Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah SAW
mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit
pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum
baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan sebentuk cincin
dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang
lain.
Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah SAW menyuruh
isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada
persoalan yang dikemukakan. Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk
mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada
yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di
antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, Baginda pun
berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin
kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap
seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah
sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.
Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau
setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak
menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu
strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut
kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan
barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati.
Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur, barulah boleh dinasihati. Dan
nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan
seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah SAW
juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah
tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut
meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah
baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.
Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah.
Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap
suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan
raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai
penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya
suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak
membebankan suami dengan masalah-masalahnya, bahkan dia akan berusaha untuk
menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah, maka
sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah
memiliki isteri yang solehah.”
Apabila wanita dapat dididik dengan betul, maka ia dapat
memberi kebaikan yang besar kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi
akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah boleh
membahagiakan seisi alam.
Sumber: facebook
No comments:
Post a Comment